PUTRAJAYA, 16 Oktober - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menghantar barisan pemain elit ke Sukan SEA 2025 di Thailand, bagi memastikan saingan yang lebih seimbang dan berdaya saing.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat berdasarkan pengalaman di Sukan SEA Kemboja lalu, apabila skuad pelapis negara tewas mudah kepada pasukan utama negara lawan.
"Kalau lawan hantar pasukan elit, tapi kita hantar pelapis, kita sebenarnya menghantar pelapis untuk kalah.
"Itu bukan pelapis lawan pelapis," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Remaja Asia 2025 Bahrain dan Sukan Perpaduan Islam 2025 Arab Saudi, di sini hari ini.
Hannah menjelaskan, pendekatan kali ini lebih strategik dengan menurunkan skuad terbaik apabila negara lawan turut menurunkan pemain utama, sambil memastikan pemain pelapis tetap diberi ruang pendedahan dalam acara lain.
"Kita kena tengok konteks lawan. Kalau lawan hantar pelapis, kita pun hantar pelapis. Tapi kalau lawan hantar elit, kita kena hantar elit juga," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa sasaran pingat bagi kontinjen negara akan diumumkan selepas rundingan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan barisan jurulatih selesai dalam masa terdekat.
Terdahulu, BAM mengesahkan senarai pemain yang akan memburu pingat emas di temasya tersebut, termasuk juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, bekas juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah, serta pemain perseorangan lelaki Leong Jun Hao.
