fb fb fb fb fb

Suku akhir Piala FA: Selangor FC idam kemenangan menentang NSFC

Pemain pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar/RTM

KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Selangor FC kini bersedia melakar kemenangan menjelang pertemuan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi suku akhir pertama Piala FA  yang akan berlangsung di Stadium Paroi pada Sabtu.

Pemain pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar berkata pasukan itu kini semakin bersemangat di bawah kendalian jurulatih sementara, Christophe Gamel.

Pemain berusia 25 tahun itu memaklumkan ketika ini para pemain berada pada tahap terbaik untuk memperbaiki prestasi pasukan sekali gus memastikan Selangor FC kembali mencatat keputusan positif pada pertemuan berkenaan.

“Persiapan kami berjalan dengan baik. Kami cuba sehabis baik dalam latihan untuk menghadapi perlawanan Sabtu ini, dan kami akan turun dengan tekad untuk meraih kemenangan menentang Negeri Sembilan,” katanya.

Sharul yang kini bebas daripada kecederaan turut menyatakan kesediaannya untuk diturunkan dalam aksi berkenaan.

“Alhamdulillah, kecederaan saya sudah pulih sepenuhnya dan kini berada dalam keadaan terbaik. Saya sudah mula berlatih seperti biasa dan jika diberi peluang bermain Sabtu ini, saya akan cuba berikan yang terbaik,” ujarnya.

Tambahnya, skuad Gergasi Merah perlu segera menyesuaikan diri dengan pendekatan taktikal baharu yang diterapkan oleh Christophe Gamel bagi memastikan pasukan dapat menampilkan prestasi mantap dalam perlawanan akan datang.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD