KUALA LUMPUR, 7 Disember - Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah mengesahkan gelaran ‘Raja Asia’ bagi kelas elit ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025 di Buriram, Thailand, pada Ahad.
Kejayaan itu hadir penuh dramatik pada perlumbaan terakhir musim apabila bekas pelumba MotoGP tersebut menamatkan saingan di tempat kedua, keputusan yang sudah mencukupi untuk menjulang gelaran Asia.
Hafizh mengumpul keseluruhan 193 mata sekaligus menewaskan pencabar terdekatnya, Nakarin Atiraphuvapat dari Honda Racing Thailand dengan kelebihan tiga mata.
Dalam perlumbaan itu, Nakarin mempamerkan tunggangan agresif untuk muncul juara, manakala seorang lagi pelumba negara, Md Zaqhwan Zaidi dari Idemitsu Honda Racing Malaysia, melengkapkan podium di tempat ketiga.
Meskipun Hafizh mempamerkan kebangkitan apabila berada di kedudukan kedua berbaki 10 pusingan, debaran memuncak apabila dia dipintas Zaqhwan.
Namun, pengalaman memihak Hafizh apabila dia melakukan pintasan berani ke atas Zaqhwan di sektor ketiga pada pusingan terakhir untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Pertarungan sengit kedua-dua pelumba itu menjadi tumpuan susulan kontroversi kemalangan yang membabitkan mereka pada Pusingan Lima di Litar Antarabangsa Sepang, Oktober lalu.
Terdahulu, seorang lagi pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan Hong Leong Yamaha Racing turut menghadirkan berita gembira apabila muncul sebagai juara keseluruhan kategori SuperSports 600cc (SS600).
Meskipun menamatkan saingan di tempat keempat, keputusan itu sudah memadai buat Kasma mengesahkan gelaran juara.
Perlumbaan turut dicemari drama apabila Mohammad Adenanta Putra dari Indonesia, yang hampir bergelar juara, terlibat kemalangan di penghujung saingan, sekaligus membuka laluan kepada Kasma menjuarai kategori berkenaan.
Walaupun terikat 167 mata dengan pelumba tuan rumah, Anupab Sarmoon dari Yamaha Racing Thailand, pelumba kelahiran Johor itu dinobatkan juara berdasarkan keputusan lebih baik dicatatkan sepanjang musim ini.
Dalam kategori berkenaan, pelumba tuan rumah, Thanat Laoongplio dari pasukan Honda Racing Thailand muncul juara, diikuti tempat kedua oleh pelumba ‘wildcard’ dari Indonesia, Aldi Satya Mahendra dari Yamaha Racing Thailand, manakala Anupab di tempat ketiga.