fb fb fb fb fb

Gyokeres hampiri Arsenal

penyerang Sporting Lisbon, Viktor Gyokeres/Foto REUTERS

LONDON, 23 Julai - Arsenal kini selangkah lagi untuk mendapatkan khidmat penyerang prolifik Sweden, Viktor Gyokeres dari Sporting Lisbon, dalam usaha memperkuat barisan serangan menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menurut laporan media Portugal dan UK, rundingan antara Arsenal dan Sporting hampir mencapai kata sepakat, dengan nilai perpindahan dijangka mencecah sekitar £85 juta (RM510 juta).

Gyokeres dijangka menandatangani kontrak lima tahun di Emirates dalam masa terdekat.

Penyerang berusia 27 tahun itu menjadi sensasi bola sepak Eropah selepas meledak 54 gol dan mencatat 14 bantuan jaringan musim lalu dalam semua kejohanan bersama Sporting.

Beliau turut memainkan peranan utama membantu kelab itu menjulang kejuaraan Liga Primeira dua musim berturut-turut.

Gyokeres mula mencuri perhatian ketika bersama Coventry City di Liga Kejuaraan Inggeris, dengan 22 gol pada musim 2022-23 sebelum berpindah ke Sporting dengan nilai sekitar £20 juta (RM120 juta).

Perkembangannya di Portugal meningkat dengan pesat, menerusi gaya permainan fizikal, larian pantas dan penyudah klinikal menjadikannya antara penyerang paling digeruni di Eropah.

Sekiranya perpindahan tersebut menjadi kenyataan, beliau bakal menjadi pembelian termahal Arsenal musim ini, susulan perpindahan Noni Madueke dari Chelsea minggu lalu.

Kehadirannya dijangka memberi saingan sengit kepada Gabriel Jesus dan Eddie Nketiah dalam jentera serangan.

Arsenal yang dibimbing Mikel Arteta kini sedang mencari ramuan terbaik untuk menamatkan penantian kejuaraan EPL sejak 2004, selepas muncul naib juara tiga musim berturut-turut di belakang Manchester City.

Gyokeres juga merupakan pemain utama skuad kebangsaan Sweden, dengan 20 penampilan dan sembilan gol setakat ini. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD