MANCHESTER, 27 Februari-Pengurus Manchester City,Pep Guardiola menegaskan bahawa kelab itu akan kembali menjadi pencabar utama Liga Perdana Inggeris selepas Erling Haaland memastikan kemenangan 1-0 ke atas Tottenham pada Rabu.
Jaringan Haaland pada minit ke-12 mengukuhkan peluang City untuk layak ke Liga Juara musim depan apabila mereka naik ke tangga keempat liga.
Liverpool hampir pasti merangkul gelaran musim ini, sementara City yang tewas 2-0 kepada pasukan Arnie Slot pada Ahad telah tersingkir daripada perebutan kejuaran sejak beberapa bulan lalu selepas prestasi hambar yang menyebabkan mereka ketinggalan 20 mata di belakang pendahulu liga.
Dengan tersingkir daripada Liga Juara selepas tewas kepada Real Madrid pada perlawanan play-off, Guardiola kini hanya mempunyai Piala FA sebagai satu-satunya peluang meraih trofi musim ini.
Namun, dalam jangka panjang, pengendali dari Sepanyol itu yakin City mampu kembali ke zaman kegemilangan mereka meskipun pasukan itu kini berdepan cabaran daripada pemain yang semakin berusia serta kekurangan pengalaman Liga Perdana dalam beberapa posisi.
"City musim ini tidak akan sama seperti dahulu.
"City yang lama terlalu hebat, tetapi kami akan kembali.
"Separuh masa kedua menjadi lebih terbuka kerana kami tidak menamatkan permainan pada separuh masa pertama. Di stadium ini, mereka sentiasa mempunyai 20 hingga 25 minit untuk menyerang dan kami tertekan pada separuh masa kedua", katanya.
"Sudah berkali-kali musim ini kami membenarkan terlalu banyak gol mudah, dan di hadapan gol pula, kami sering mensia-siakan peluang. Nasib baik hari ini berakhir dengan baik," tambahnya.
Sementara itu, pengurus Tottenham, Ange Postecoglou, mengakui bahawa keghairahan berlebihan telah merugikan pasukannya yang sedang dilanda kecederaan dalam separuh masa pertama.
Spurs turut mengalami musim yang mencabar seperti City, dan kini berada di tangga ke-13 sambil memburu kejuaraan Liga Europa untuk menamatkan kemarau trofi selama 17 tahun.
"Separuh masa pertama, kami terlalu terburu-buru ketika menyerang. Kami banyak membazirkan peluang, dan apabila menentang pasukan seperti City, ini membolehkan mereka menguasai permainan," kata Postecoglou.
"Mereka boleh menghukum pada bila-bila masa, dan kami gagal mengawal permainan dengan baik. Mereka menjaringkan gol dan mempunyai beberapa peluang baik untuk menambah jaringan", katanya.
"Pada separuh masa kedua, saya rasa kami menguasai permainan. Kami lebih baik dengan bola dan lebih tenang, tetapi kekurangan sentuhan penyudah.
"Ia mengecewakan untuk tewas lagi, tetapi secara keseluruhan, permainan kali ini lebih mencerminkan gaya sebenar kami," tambahnya.-AFP.