fb fb fb fb fb

EPL: Liverpool hampiri kejuaraan liga

Para pemain Liverpool, Alexis Mac Allister dari Liverpool meraikan jaringan gol kedua bersama Mohamed Salah dan Dominik Szoboszlai / Foto REUTERS

LIVERPOOL, 26 Februari-Pengurus Liverpool, Arne Slot, memuji mentaliti untuk menang yang ditampilkan pasukannya selepas mereka melebarkan jurang kepada 13 mata di puncak Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 2-0 ke atas Newcastle pada Rabu.

Dominik Szoboszlai dan Alexis Mac Allister masing-masing menjaringkan gol sekali gus mengukukuhkan kelebihan Liverpool berbanding Arsenal yang sebelum itu terikat 0-0 dengan Nottingham Forest.

Liverpool kini mencatatkan 24 perlawanan tanpa kalah dalam liga, dan semakin hampir menjulang kejuaraan liga Inggeris ke-20 dan yang kedua dalam tempoh 35 tahun.

Pada perlawanan berkenaan, Slot terpaksa menonton perlawanan dari tempat duduk penonton selepas dikenakan larangan dua perlawanan susulan kad merah yang diterimanya pada perlawanan menentang Everton awal bulan ini.

"Semua cabaran mental yang kami hadapi, para pemain tetap tenang dan melakukan apa yang perlu," kata Slot.

"Mereka menjadikan permainan sukar buat lawan dan biasanya kualiti kami yang akan menentukan perbezaan."

Kekalahan ini meletakkan Newcastle di tangga keenam liga, tiga mata di belakang kelompok empat teratas.

Kedua-dua pasukan bakal bertemu semula dalam perlawanan akhir Piala Liga pada 16 Mac nanti, dan pengurus Newcastle, Eddie Howe, percaya pasukannya mampu memberi saingan kepada Liverpool.

"Saya tidak fikir kami bermain dengan teruk, tetapi kami sepatutnya bertahan dengan lebih baik untuk kedua-dua gol yang dilepaskan," kata Howe.

"Kedua-duanya berpunca daripada hantaran ke dalam kotak penalti, di mana kami tidak cukup rapat dengan pemain tengah mereka, yang amat mengecewakan.

"Dalam aspek serangan, kami memiliki beberapa peluang tetapi tidak cukup klinikal untuk memanfaatkannya."

Newcastle menerima tamparan hebat sebelum sepak mula apabila penjaring terbanyak mereka dengan 21 gol, Alexander Isak, terpaksa diketepikan akibat kecederaan pangkal paha.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD