(Pelumba Repsol Honda Team, Marc Marquez meraikan kejayaannya menduduki petak pertama
pada aksi kelayakan MotoGP Grand Prix Jepun/AFP)
MOTEGI, 24 September - Juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez meraih petak utama buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun ketika beliau beraksi menentang cuaca buruk di Grand Prix Jepun pada Sabtu.
Pada hari ketika hujan lebat dan petir berlaku di Motegi, pencabar kejuaraan dunia itu bergelut untuk menguasai keadaan.
Pelumba Sepanyol itu tidak mengalami masalah dengan jentera Hondanya apabila mencatatkan masa terpantas satu minit dan 55.214 saat, di hadapan Johann Zarco dari Perancis, 0.208 saat di belakang, dan Brad Binder dari Afrika Selatan (0.323 saat).
Cuaca diramalkan jauh lebih baik untuk hari perlumbaan pada Ahad, untuk MotoGP pertama Jepun sejak 2019 berikutan pandemik COVID-19.
Marquez, 29 tahun, yang juga pelumba terpantas dalam latihan kedua litar basah, kali terakhir menduduki petak pertama lebih 1,000 hari lalu, juga di Jepun.
Ia adalah petak pertama MotoGP ke-63nya dan ia dicapai setelah beliau pulih daripada kecederaan.
(Pelumba Repsol Honda Team, Marc Marquez dari Sepanyol menunggang motosikalnya
semasa sesi latihan MotoGP di Grand Prix Jepun/AFP)
"Sungguh gembira untuk berada di petak pertama hari ini," katanya sambil menambah ia "sangat penting bagi saya untuk mencapai sasaran kecil ini".
Tetapi dia memberi amaran,"esok dalam keadaan kering akan menjadi perlumbaan dan cerita yang berbeza."
Daripada ketiga-tiga pencabar kejuaraan itu, Aleix Espargaro dari Sepanyol berada di tempat terbaik di tempat keenam dalam grid untuk Aprilia, dengan penyandang juara dunia Fabio Quartararo di tempat kesembilan dengan jentera Yamaha.
Francesco Bagnaia, yang telah menutup peluang kejuaraan Quartararo kepada 10 mata dengan baki lima perlumbaan pada musim ini, mencatat keputusan mengecewakan apabila berada di tempat ke-12 dengan jentera Ducatinya.
Hanya 17 mata yang memisahkan kedudukan tiga teratas dalam mengejar kejuaraan tetapi semua momentum terarah kepada pelumba Itali tersebut. -AFP