fb fb fb fb fb

Graham Thorpe bergelut dengan kemurungan, kemuncaknya ambil nyawa sendiri

Bekas pemain kriket England, Graham Thorpe

LONDON, 12 Ogos- Isteri bekas pemain kriket England, Graham Thorpe, Amanda, mendedahkan suaminya meninggal akibat membunuh diri selepas bertahun-tahun bergelut dengan kemurungan dan kegelisahan.

Pada usia 55 tahun, kematian Thorpe nyata mengejutkan dunia kriket dan membawa suasana berkabung untuk bintang popular tersebut.

Thorpe menikmati kerjaya penuh gemilang bersama England sebagai 'batsman' (pemukul) antara 1993 dan 2005, sebelum menghabiskan 12 tahun dalam pelbagai peranan sebagai jurulatih.

Namun, Thorpe telah dimasukkan ke hospital pada Mei 2022 dan dilaporkan 'sangat sakit'.

Amanda Thorpe mendedahkan perkara itu dalam satu temubual dengan The Times bahawa bekas pemain Surrey itu telah mencuba membunuh diri dua tahun lalu sebelum akhirnya mengambil nyawanya sendiri awal bulan ini.

"Walaupun mempunyai seorang isteri dan dua anak perempuan yang disayangi dan menyayanginya, dia tidak sembuh. Dia kelihatan terlampau sakit kebelakangan ini dan benar-benar percaya bahawa kami akan lebih baik tanpa dia dan kami sangat kecewa bahawa dia bertindak sedemikian dan membunuh diri," kata Amanda Thorpe kepada The Times.

"Selama beberapa tahun kebelakangan ini, Graham telah mengalami kemurungan dan kegelisahan yang serius. Ini menyebabkan dia mencuba membunuh diri dengan serius pada Mei 2022, yang mengakibatkannya terlantar lama di unit rawatan rapi."

Batsman kidal itu telah beraksi dalam 100 perlawanan ujian dan 82 perlawanan sehari untuk England, mencatatkan lebih daripada 9,000 larian untuk skuad kebangsaan.

Namun, dia tidak dapat mengatasi perjuangan kesihatan mentalnya walaupun dengan sokongan keluarganya dan doktor.

"Graham terkenal sebagai seseorang yang sangat kuat mental di padang dan dia dalam keadaan kesihatan fizikal yang baik. Tetapi penyakit mental adalah penyakit sebenar dan boleh menjejaskan sesiapa sahaja,"kata Amanda.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE