fb fb fb fb fb

Goh Sze Fei–Nur Izzuddin tewaskan rakan senegara, mara ke suku akhir

Kekal pasangan nombor satu dunia

INDONESIA, 5 Jun - Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani, terus membuktikan status mereka sebagai gandingan terbaik dunia apabila berjaya mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2025.

Lebih manis, kemenangan di pusingan kedua itu membolehkan mereka mengekalkan kedudukan sebagai pasangan nombor satu dunia, sekali gus memberi suntikan semangat menjelang aksi seterusnya.

Turun menentang rakan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub–Tan Wee Kiong, Sze Fei–Izzuddin terpaksa bekerja keras sebelum memastikan kemenangan dalam pertarungan tiga set di Istora Senayan, Jakarta.

Mereka menang set pertama 21-14, namun dikejutkan dengan kekalahan 16-21 di set kedua.

Bagaimanapun, pasangan negara segera bangkit dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-14 dalam set penentuan.

Kemenangan tersebut juga memastikan mereka mengekalkan mata ranking yang mencukupi bagi mengekori rapat kejuaraan Siri Dunia musim ini.

Pasangan yang dinobatkan sebagai nombor satu dunia dua minggu lalu itu kini semakin hampir untuk memperkukuh kedudukan di puncak, dan bersedia melangkah lebih jauh dalam saingan Super 1000 di Jakarta.

Ia juga menjadi satu lagi detik bersejarah dalam karier Sze Fei–Izzuddin, yang kini dilihat sebagai harapan utama negara dalam misi memburu kejuaraan berprestij musim ini.

Esok pasangan itu akan berdepan cabaran tuan rumah,Sabar Karyaman Gutama- Moh Reza Pahlevi Isfahani bagi merebut slot kepentas separuh akhir.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN