MATERA, 15 Mei - Pelumba pasukan Lidl-Trek, Mads Pedersen terus mendominasi saingan jelajah Giro d’Italia selepas merangkul kemenangan ketiganya dalam peringkat kelima.
Kemenangan itu melonjakkan kelebihan Pedersen kepada 17 saat di hadapan Primoz Roglic dalam kedudukan keseluruhan.
Pelumba Denmark itu sebelum ini telah meraih kemenangan peringkat pada aksi pembukaan dan peringkat ketiga.
Perlumbaan peringkat kelima sejauh 151 kilometer dari Ceglie Messapica ke Matera melibatkan dua zon pecutan di Massafra dan Marina di Ginosa, serta satu zon pendakian di Montescaglioso.
Tiga pelumba Itali, Giosue Epis, Davide Bais dan Lorenzo Milesi melakukan pemisahan sejurus selepas perlumbaan bermula. Epis kemudian tercicir, manakala dua lagi rakan senegaranya berjaya dikejar semula oleh peloton ketika perlumbaan berbaki 13 kilometer.
Kumpulan utama meningkatkan kelajuan di pendakian Montescaglioso, menyebabkan ramai pelumba tercicir di belakang peloton termasuk pemilik Jersi Merah Jambu, Pedersen, yang bergelut di kawasan pendakian itu.
Rakan sepasukannya, Mathias Vacek, tampil memberikan bantuan sempurna dan selepas pelumba dari Republik Czech itu menamatkan tugasnya, Pedersen memulakan pecutan awal.
Beliau berjaya mempertahankan kedudukan walaupun pelumba tuan rumah, Edoardo Zambanini (Bahrain Victorious), hampir memintasnya di garisan penamat. Tom Pidcock dari Britain pula menamatkan saingan di tempat ketiga.
Kemenangan tersebut menjadi suntikan moral buat Pedersen yang sebelum ini mengumumkan akan kekal bersama pasukan Lidl-Trek hingga akhir kariernya.