fb fb fb fb fb

GG 4x4 buktikan jentera tua masih berbisa di peringkat antarabangsa

Land Rover Defender Series 3 88 yang berusia hampir separuh abad menjadi taruhan pasukan GG 4x4 yang berpangkalan dari Terengganu untuk mengungguli podium Rainforest Challenge Grand Final 2025 di tempat ke-3 bagi kategori R3 setelah menempuhi 11 hari perlumbaan

GUA MUSANG, 11 Disember - Rainforest Challenge Grand Final 2025 (RFC Grand Final 2025) mencipta sensasi apabila pasukan tempatan GG 4x4 berjaya meraih podium mesti mempertaruh jentera tua Land Rover Defender Series 3 88 berusia hampir 50 tahun.

Jentera yang mengekalkan hampir 90% komponen asal, termasuk enjin, bersaing dengan jentera moden berkuasa tinggi dari pasukan tempatan dan antarabangsa. Walaupun hanya menamatkan di tempat ketiga kategori R3, pengurus pasukan Azili Safeei berpuas hati dengan pencapaian kali ini, terutamanya selepas berdepan masalah mekanikal pada hari pertama perlumbaan.

“Podium kali ini sudah memadai, apatah lagi berentap dengan pasukan dari Poland dan tempatan yang berpengalaman. Sekurang-kurangnya kami menamatkan musim ini dengan sesuatu untuk dibanggakan,” kata Azili, bekas pelumba RFC.

Pemandu GG 4x4, Tengku Khairul A Rahman, menekankan bahawa pengalaman dan strategi perlumbaan lebih penting daripada kelajuan semata-mata. “Sokongan pasukan teknikal dan pengurusan yang kukuh juga memainkan peranan utama untuk memastikan jentera berusia ini terus bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kategori R3 dimenangi pasukan dari Poland, manakala tempat kedua diraih pasukan tempatan Otai Racing Team. Russia mendominasi kategori R1, dengan pasukan tempatan Sabah meraih tempat ketiga. Untuk R2, pasukan ‘107’ dari Johor muncul juara diikuti Cameron 4x4.

Edisi ke-28 RFC Grand Final 2025 berlangsung dari 29 November hingga 9 Disember bermula di Sungai Buluh, Selangor dan berakhir di Gua Musang, Kelantan, mempertandingkan tiga kategori iaitu R1 (Prototype), R2 (Modified Production) dan R3 (Production) dengan penyertaan daripada Russia, Poland, Latvia serta pasukan tempatan, membabitkan 22 jentera lumba.

1112 SKN 4X4 FINALEGG 4x4 yang berpangkalan dari Terengganu raih tempat ke-3 bagi kategori R3 Rainforest Challenge Grand Final 2025 dalam satu majlis yang telah berlangsung di Dewan KESEDAR, Gua Musang

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE