ROM, 15 Jun- Legenda bola sepak Itali, Gennaro Gattuso dijangka dilantik sebagai pengurus baharu skuad kebangsaan negara itu.
Menurut ketua delegasi Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Gianluigi Buffon, Gattuso bakal menggantikan tempat Luciano Spalletti yang dipecat baru-baru ini.
"Kami sudah menjalankan kerja-kerja berkaitan, kini hanya menunggu butiran akhir," kata Buffon kepada penyiar nasional RAI ketika diminta mengesahkan pelantikan Gattuso semasa Kejohanan Eropah Bawah 21 Tahun berlangsung.
Spalletti, yang hanya memegang jawatan itu kurang daripada dua tahun, mengendalikan pasukan buat kali terakhir ketika kemenangan 2-0 ke atas Moldova, sehari selepas beliau sendiri mengumumkan pemecatannya susulan kekalahan 0-3 kepada Norway dalam aksi kelayakan Piala Dunia pertama Itali.
Gattuso, yang merekodkan 73 penampilan bersama Itali dan merupakan anggota skuad yang menjulang Piala Dunia 2006.
Sebelum ini, beliau meninggalkan kelab Croatia, Hajduk Split secara persetujuan bersama selepas menamatkan musim di tempat ketiga liga utama negara itu.
Sepanjang kerjaya kejurulatihannya, Gattuso pernah membimbing beberapa kelab ternama termasuk Marseille, Valencia, Napoli dan AC Milan.- REUTERS