PETALING JAYA, 28 Disember - Jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel menegaskan pasukannya perlu memiliki mentaliti lebih “pembunuh” walaupun menamatkan pusingan pertama Liga Super dengan kemenangan 3-0 ke atas Melaka FC di Stadium MBPJ, malam tadi.
Gamel mengakui Selangor bermula dengan baik dan agresif pada awal perlawanan, namun menyifatkan pemainnya mula mengikut rentak lawan selepas tiga gol awal berjaya dijaringkan.
"Kami bermula dengan rentak yang sangat baik dan agresif. Tetapi selepas tiga gol, pemain mula mengambil jalan mudah dan mengikut rentak mereka, bukan rentak kami,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Menurutnya, sikap sedemikian tidak boleh berlaku di peringkat tertinggi kerana perbezaan gol boleh menjadi faktor penentu pada penghujung musim.
“Di tahap tinggi, anda tidak boleh melakukan itu. Kami perlu mempunyai mentaliti ‘pembunuh’ kerana apabila kami ada peluang, kami perlu mematikan permainan. Jika tidak, kita yang akan tewas,” tegasnya.
Gamel turut berpandangan Selangor sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol berdasarkan peluang yang dicipta.
Jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel/Foto RTM
“Enam atau tujuh gol mungkin keputusan yang lebih tepat kerana dari segi pertahanan kami agak solid hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau tetap berpuas hati melihat variasi jaringan daripada barisan serangan yang menurutnya mencerminkan permainan berpasukan yang baik.
“Saya melihat tiga penyerang berbeza menjaringkan gol. Itu penting kerana ia menunjukkan kami bermain sebagai satu pasukan,” jelasnya.
Mengulas undian Piala Malaysia yang dijadualkan pada 2 Januari ini, Gamel menegaskan Selangor perlu bersedia berdepan sesiapa sahaja.
“Jika anda mahu ke perlawanan akhir, anda perlu menewaskan sesiapa sahaja yang menghalang jalan anda,” katanya.
Selangor bakal memulakan pusingan kedua Liga Super dengan ujian getir menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), yang disifatkan Gamel sebagai pasukan terbaik dalam negara sejak bertahun-tahun lalu.
“Ia satu permulaan yang sangat sukar, tetapi juga peluang terbaik untuk melihat sejauh mana kami telah bertambah baik,” katanya.
Namun, Gamel mengakui pasukannya masih dibelenggu masalah kecederaan yang panjang. “Senarai kecederaan masih panjang dan itu satu masalah,” ujarnya.
Selepas mengambil alih pasukan ketika Selangor berada di kedudukan pertengahan liga, Gamel menyifatkan pencapaian berada di tempat ketiga ketika ini sebagai satu peningkatan positif.
“Jika anda tidak bertambah baik, anda tidak akan naik dalam kedudukan liga. Tetapi konsistensi adalah kunci,” katanya.
Mengulas khabar angin perpindahan pemain, Gamel memilih untuk tidak mengulas lanjut, namun mengesahkan keperluan menambah pilihan di bahagian serangan dan tengah.
“Kami perlukan lebih banyak pilihan di bahagian serangan kerana kami tidak mempunyai ramai penyerang tengah,” katanya.