fb fb fb fb fb

Gaji KL City: Abdullah Sani janji selesai tunggakan, jika terpilih presiden KLFA

Foto Facebook Kuala Lumpur City

KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Calon Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berjanji akan menyelesaikan masalah tunggakan gaji Kuala Lumpur (KL) City FC sekiranya beliau menang dalam kongres pemilihan, Sabtu ini.

Abdullah Sani berkata, beliau dan barisan kepimpinan yang bakal dilantik bertekad untuk memperbaiki kedudukan kewangan skuad warga kota, bagi memastikan pasukan itu bebas daripada isu tunggakan gaji.

“Perkara utama yang perlu diselesaikan adalah isu gaji. Mana-mana calon bertanding pasti mempunyai objektif yang sama, kerana masalah ini tidak boleh dibiarkan.

“Saya juga akan mencari solusi bagi menangani masalah kewangan dalaman, termasuk melalui kerjasama dengan syarikat swasta yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada pemegang saham KL City,” katanya kepada media semalam.

Abdullah Sani, yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), turut menyatakan hasrat untuk mengembalikan kegemilangan KL City sebagai pasukan yang digeruni.

Menurutnya, gabungan barisan politik dan korporat yang hampir kesemuanya terdiri daripada muka baharu diyakini mampu merealisasikan impian menyelesaikan masalah yang dihadapi KL City.

Pemilihan kongres KLFA Sabtu ini akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu bagi jawatan presiden antara Abdullah Sani dan Naib Presiden KLFA Syed Yazid Syed Omar, setelah pencalonan ditutup pada 26 September lepas.

Trainee