fb fb fb fb fb

Fran Kirby umum persaraan sebulan sebelum Euro

Pemain tengah wanita England, Fran Kirby / Foto Reuters

LONDON, 4 Jun – Pemain tengah wanita England, Fran Kirby mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa hanya sebulan sebelum Kejohanan Euro 2025 bermula.

Kirby, 31, yang telah mengumpul 77 kaps bersama skuad Lionesses, dikenang atas sumbangannya semasa kejayaan England menjulang trofi Euro 2022.

Beliau beraksi dalam semua enam perlawanan kejohanan itu dengan dua gol dan tiga bantuan jaringan.

Dalam kenyataan di media sosial, Kirby berkata sudah tiba masanya untuk menutup babak itu dalam hidupnya selepas menyertai pasukan kebangsaan sejak usia 21 tahun.

Penampilan terakhir Kirby adalah dalam kemenangan 6-0 ke atas Portugal minggu lalu. Beliau tidak disenaraikan dalam perlawanan menentang Sepanyol pada Selasa.

Karier Kirby banyak dipengaruhi kecederaan dan masalah kesihatan, termasuk terlepas Piala Dunia 2023 akibat kecederaan lutut yang memerlukan pembedahan.

Bekas pemain Chelsea itu memenangi tujuh kejuaraan Liga Super Wanita (WSL) dan lima Piala FA.

Musim ini, beliau menjaringkan tujuh gol dalam 17 penampilan untuk Brighton yang menamatkan saingan di tangga kelima.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN