BARCELONA, 12 Mei- Jurulatih Barcelona, Hansi Flick berikrar untuk memperkuatkan jentera pertahanan pasukannya musim depan.
Komitmen itu dinyatakan selepas Barca menewaskan Real Madrid 4-3 dalam perlawanan dramatik Clasico, untuk menghampiri gelaran La Liga, musim ini.
Kemenangan itu menyaksikan Skuad Catalan di ambang kejuaraan, menjarakkan jurang kepada tujuh mata berbanding Real di tempat kedua, dengan baki tiga perlawanan.
"Bukan mudah untuk kami melakukan beberapa perkara dalam latihan. Kami perlu memperbaiki pertahanan dan akan melakukannya musim depan.
"Kami juga akan mengurangkan kesilapan dan berusaha ke arah yang lebih baik," katanya kepada pemberita.
Flick berkata dia tidak menyalahkan pemain pertahanannya kerana dibolosi banyak gol memandangkan Real dibarisi penyerang yang hebat.
Barcelona boleh merangkul kejuaraan jika menang ke atas Espanyol pada Khamis ini, atau sekiranya Madrid kalah menentang Real Mallorca pada Rabu. - AFP