SHAH ALAM, 12 Jun- Pemain tengah berpengalaman, Mohammad Fitri Saari, kini memberi tumpuan sepenuhnya dan menetapkan sasaran untuk mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara 2025 yang akan bermula pada 15 Jun ini.
Jelas, Fitri Saari, pasukannya teruja untuk beraksi di laman sendiri, dan persiapan rapi yang dilakukan diyakini mampu membantu mereka beraksi dengan baik dalam edisi ketiga kejohanan ini.
"Bagi saya, semua pemain sekarang tidak sabar untuk beraksi di Kejohanan Hoki Piala Negara-negara. Saya berharap semua pemain dapat memberikan yang terbaik. Kita lihat perlawanan pertama menentang Pakistan dijangka agak seimbang, kerana berdasarkan perlawanan sebelum ini, kita seri 4-4 dan juga seri 5-5 dalam Piala Sultan Azlan Shah 2024,
"Saya berharap kita dapat keputusan yang baik. Sasaran kita adalah untuk berada dalam empat terbaik, dengan harapan menang menentang Pakistan dan juga Jepun. Menentang New Zealand, kita akan cuba buat yang terbaik. Saya juga berharap dengan kelebihan sebagai tuan rumah, kita dapat layak ke separuh akhir dan seterusnya ke peringkat akhir," katanya.
Tambahnya, pukulan sudut penalti akan menjadi aspek penting dalam perlawanan menentang Pakistan nanti.
"Untuk pukulan sudut penaliti (PC) serangan dan pertahanan bertaraf dunia memang agak sukar untuk kita menjaringkan gol daripada PC serangan, sama seperti mana-mana pasukan lain.
"Namun, dari segi PC pertahanan, kita juga mempunyai pemain hebat seperti Amirul yang sangat pantas, jadi agak sukar untuk lawan mendapatkan gol daripada PC. Semua perkara sudah dirancang dengan baik, dan mungkin kita akan ada sedikit variasi dalam strategi untuk perlawanan menentang Pakistan nanti,
"Kita akan berbincang tentang strategi yang perlu digunakan menentang Pakistan nanti, kerana pukulan sudut penaliti (PC) serangan dan pertahanan akan menjadi faktor penentu sama ada kita menang atau kalah dalam perlawanan tersebut," katanya lagi.
Malaysia akan memulakan kempen kejohanan dengan perlawanan menentang Pakistan pada 15 Jun, diikuti dengan perlawanan menentang Jepun pada 16 Jun dan New Zealand pada 18 Jun.