KUALA LUMPUR, 22 Oktober - Impian Kuala Lumpur (KL) City FC menjulang gelaran Piala AFC buat kali pertama lebur apabila tunduk kepada kehebatan kelab dari Oman, Al Seed 3-0 pada aksi final di Stadium National, Bukit Jalil malam ini.
Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Bojan Hodak gagal mengikut jejak langkah Johor Darul takzim yang muncul juara pada edisi 2015 sebelum ini.
Pada aksi tersebut, KL CIty yang beraksi di hadapan penyokong sendiri, hampir mendahului pada minit ke-18, namun tendangan Zafri Yahya dinafikan penjaga gol Al Seeb, Ahmed Faraj Al Rawahi.
Sebaliknya The City Boys di hukum menerusi tendangan sudut Ali Al Busaidi yang terus melencong masuk ke dalam gawang pada minit ke-21.
(Juara Piala Malaysia, KL City FC ketinggalan 0-3 di tangan Al Seeb/FOTO FACEBOOK KL City)
15 minit berselang, gawang KL City bocor lagi menerusi tandukan Abdulaziz Al-Muqbali, sekali gus memberi kelebihan dua gol buat juara Liga Oman itu sehingga rehat.
Babak kedua, Al Seed terus menguasai permainan sehingga menjejaskan usaha KL City memburu gol penyamaan.
Impian tuan rumah mencari penamat indah dalam kempen ini akhirnya musnah selepas rembatan Muhsen Al Ghassani gagal di selamatkan penjaga gol, Kevin Ray Mendoza, sekali gus menjamin kemenangan buat Al Seed dengan keputusan 3-0.
Selaku juara, Al Seeb membawa pulang habuan berjumlah 1.5 juta dolar AS, manakala KL City pula membawa pulang 750,000 ribu dolar AS selaku naib juara.