PARIS, 8 Disember- Badan induk sukan permotoran, FIA, pada Khamis mengumumkan telah menamatkan siasatan ke atas Ketua Akademi F1, Susie Wolff dan suaminya Toto, bos pasukan Mercedes atas tuduhan salah guna kuasa.
FIA, telah melancarkan siasatan selepas menerima maklumat berhubung salah laku tersebut yang bersifat sulit dan diserahkan kepada prinsipal pasukan F1 daripada anggota pengurusan Formula 1 (FOM).
Tumpuan ditujukan kepada Toto Wolff, bos berprofil tinggi dan lantang bagi pasukan Mercedes, dan isterinya Susie yang juga merupakan pengarah urusan Akademi F1.
Tetapi FIA menerusi pengumuman pada Khamis berkata "selepas semakan Kod Tatatertib Pengurusan Formula 1 dan Polisi Konflik Kepentingan F1, FIA berpuas hati bahawa sistem pengurusan pematuhan FOM adalah teguh, cukup untuk menghalang sebarang pendedahan maklumat sulit tanpa kebenaran".
"FIA boleh mengesahkan bahawa tiada siasatan berterusan dari segi etika atau pertanyaan tatatertib yang melibatkan mana-mana individu."
Pasukan Toto Wolff telah "menolak sepenuhnya" dakwaaan salah laku dan Susie Wolff turut mengeluarkan kenyataan keras di media sosial mempertahankan dirinya.-AFP