fb fb fb fb fb

Fernandes bakal terlepas beberapa perlawanan - Amorim

FOTO AFP

BIRMINGHAM, 22 Disember - Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menzahirkan kebimbangan terhadap tahap kecederaan yang dialami Bruno Fernandes selepas mengalami kecederaan hamstring ketika tewas kepada Aston Villa pada Ahad.

“Kecederaan tisu lembut. Saya fikir dia akan terlepas beberapa perlawanan. Saya tidak pasti, jadi kita tunggu dan lihat. Dia seorang pemain yang sentiasa cergas, jadi dia boleh pulih dengan baik, tetapi saya tidak tahu,” kata Amorim.

Fernandes dijangka tidak dapat beraksi menentang Newcastle pada Boxing Day, dan berkemungkinan terlepas beberapa perlawanan seterusnya dalam jadual Krismas dan Tahun Baru.

Kecederaan Fernandes menambah lagi masalah kecederaan United, dengan Kobbie Mainoo turut terlepas perlawanan menentang Villa akibat masalah betis dan kini kemungkinan besar tidak dapat diturunkan pada perlawanan menentang Newcastle.

Manchester United sebelum ini telah kehilangan beberapa pemain seperti Bryan Mbeumo, Amad Diallo dan Noussair Mazraoui yang kini mewakili negara masing-masing di Piala Negara Afrika.

Manakala Matthijs de Ligt dan Harry Maguire turut cedera. Amorim memaklumkan bahawa United perlu mencari penyelesaian tanpa membuat pembelian baru tergesa-gesa pada tingkap perpindahan Januari.

“Kita perlu tangani situasi ini. Apa yang tidak boleh dilakukan ialah menunggu hingga Januari, kemudian cuba lakukan semuanya dengan tergesa-gesa dan membuat kesilapan. Kita perlu cari penyelesaian dan akan terus dengan pelan yang telah dirancang,” tambah Amorim. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD