fb fb fb fb fb

Bundesliga: Bayern Munich kukuhkan cengkaman

FOTO AFP

HEIDENHEIM, 22 Disember - Bayern Munich mengekalkan cengkaman mereka di puncak Bundesliga selepas menundukkan Heidenheim 4-0 pada perlawanan terakhir sebelum rehat musim sejuk.

Kemenangan itu melebarkan kedudukan Bayern Munich di puncak liga dengan sembilan mata di depan Borussia Dortmund.

Bayern membuka jaringan pada minit ke-15 menerusi Josip Stanisic, hasil hantaran cantik dari Michael Olise.

Olise kemudian menambah jaringan kedua selepas stengah jam permainan sebelum Luis Diaz menanduk masuk gol penamat pada minit ke-86.

Kane, yang dilantik sebagai ketua pasukan pada perlawanan ke-121 bersama Bayern menyudahkan kemenangan dengan gol pada masa tambahan.

Jaringan itu merupakan gol ke-30 nya musim ini dalam semua pertandingan.

“Kami mula membina semangat dan tenaga pasukan yang sukar untuk dipecahkan, dan kami membawa itu ke musim ini,” kata Kane kepada DAZN.

“Masih jauh perjalanan hingga tamat musim, tetapi kami melakukan semua perkara yang betul", ujarnya.

Ketua jurulatih Bayern Munich, Vincent Kompany memuji prestasi mantap pasukannya meskipun beraksi tanpa beberapa pemain utama.

“Rasanya macam minggu Covid kerana pemain keluar satu persatu. Saya bangga dengan pasukan kerana untuk datang ke sini dan pamerkan prestasi sebegini bukan perkara mudah,” katanya.

Sementara itu, kekalahan dengan Bayern Munich mengekalkan Heidenheim di tempat kedua tercorot, satu mata dari zon penyingkiran.

Jurulatih Frank Schmidt, yang membawa kelab itu dari divisyen lima ke Bundesliga dan Liga konferensi UEFA, mengambil tanggungjawab atas keputusan buruk itu.

“Saya tidak berpuas hati, bukan dengan pasukan atau diri saya sendiri. Kami telah membenarkan terlalu banyak peluang, dan itu tanggungjawab saya untuk menstabilkan pasukan,” kata Schmidt.

Dalam perlawanan lain, Mainz dan St Pauli hanya mampu seri tanpa jaringan, meninggalkan St Pauli di tangga ke-16 dan Mainz di dasar liga. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD