fb fb fb fb fb

FAM kembangkan Liga Bolasepak Puteri B-15, lahirkan lebih ramai bakat baharu bola sepak wanita

SSS Leopard FC dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas mengumpul 21 mata daripada lapan perlawanan sekali gus membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM15,000 / Foto FAM

PETALING JAYA, 22 Jun - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengembangkan penganjuran Liga Bolasepak Puteri Bawah 15 tahun (B-15) dalam misi melahirkan lebih ramai bakat baharu bagi meningkatkan mutu bola sepak wanita di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob berharap lebih banyak pasukan akan menyertai liga itu pada masa akan datang selain hadiah kemenangan ditingkatkan.

Kejohanan Liga Bolasepak Puteri B-15 2024 menyaksikan SSS Leopard FC dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas mengumpul 21 mata daripada lapan perlawanan sekali gus membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM15,000.

Naib juara diraih pasukan Velocity Academy yang membawa pulang RM10,000 selepas mengutip 20 mata manakala pasukan Melaka ditempat ketiga dengan 17 mata.

Pemain Velocity Academy, Putri Mia Alysa Ahmad Zakiyamani, 13 tahun dinobat sebagai penjaring terbanyak dan pemain paling bernilai pada kejohanan itu sekali gus membawa pulang trofi dan wang berjumlah RM2,000.

FAM juga akan mempergiatkan usaha memperkasakan bola sepak wanita dengan menjalinkan kerjasama bersama Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membolehkan lebih banyak sekolah mempunyai pasukan bola sepak lelaki dan perempuan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN