fb fb fb fb fb

FAM, MFL sokong usaha Tunku Mahkota Ismail majukan bola sepak negara

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub (tengah) bersama Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan (kanan) dan Timbalan Presiden FAM Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi (kiri) ketika sidang media selepas mesyuarat bersama Persatuan Bola Sepak Negeri (FA) dan Kelab Bola Sepak (FC) di Wisma FAM hari ini. / BERNAMA

PETALING JAYA, 30 Mei- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini menyatakan sokongan terhadap segala usaha yang telah dan akan dilaksanakan oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail demi kemajuan bola sepak negara.

Presiden FAM Datuk Joehari Ayub turut menzahirkan penghargaan dan menjunjung kasih atas segala sumbangan baginda dalam memartabatkan bola sepak tanah air.

“Satu resolusi dicapai semasa mesyuarat, iaitu seluruh kepimpinan tertinggi persatuan bola sepak dan kelab bola sepak negeri yang hadir sebulat suara menjunjung kasih ke atas Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala usaha dan sumbangan baginda dalam memajukan bola sepak Malaysia.

“… dan yang kedua, FAM dan MFL juga sebulat suara menyokong usaha-usaha yang telah dibuat dan akan dibuat baginda demi kebaikan bola sepak Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Bersama Persatuan Bola Sepak Negeri (FA) dan Perjumpaan bersama Kelab Bola Sepak (FC) di Wisma FAM di sini hari ini.

Tunku Mahkota Ismail memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek pembangunan bola sepak negara, termasuk penstrukturan liga, pembangunan akar umbi serta halatuju pasukan kebangsaan.- BERNAMA

MOHAMAD KHAIRIE KHALID