fb fb fb fb fb

EURO Wanita 2025: Wiegman nafi England dilanda krisis tanpa tiga tonggak

Skuad wanita England menjalani latihan di St George's Park pada Isnin / AFP

LONDON, 17 Jun- Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita England, Sarina Wiegman menegaskan skuad kendaliannya bukan dalam situasi krisis menjelang Kejohanan Euro 2025 di Switzerland, walaupun kehilangan tiga tonggak utama.

England tampil tanpa penjaga gol Mary Earps, pemain tengah Fran Kirby dan ketua pasukan Millie Bright, ketiga-tiganya merupakan watak utama ketika England menjulang kejuaraan Euro 2022.

Kirby dan Earps mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa manakala Bright menarik diri atas faktor mental dan fizikal.

“Mereka telah menyumbang banyak untuk pasukan ini, tetapi sekarang masa untuk pemain lain tampil ke depan. Bagi saya, ini bukan krisis,” katanya ketika mengumumkan senarai pemain ke kejohanan itu, baru-baru ini.

Wiegman turut menepis dakwaan berlaku ketegangan dalam skuad, sambil menyifatkan sesi latihan skuad kebangsaan sebagai positif dan penuh komitmen.

Dalam perkembangan lain, penyerang Chelsea, Lauren James disahkan cergas untuk diturunkan selepas pulih daripada kecederaan hamstring, manakala bintang muda Arsenal, Michelle Agyemang turut tersenarai selepas mencuri tumpuan dengan jaringan pantas dalam debut antarabangsa.

England diundi dalam Kumpulan C bersama Perancis, Belanda dan Wales. Mereka akan membuka kempen menentang Perancis pada 5 Julai.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE