fb fb fb fb fb

Euro 2024: Spalleti ambil tanggungjawab susulan kekalahan Itali

Jurulatih Itali, Luciano Spalleti/Foto REUTERS

BERLIN,30 Jun-Jurulatih Itali, Luciano Spalletti berkata dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyingkiran pasukan berkenaan pada Euro 2024 pada pusingan 16 terakhir selepas tewas 2-0 kepada Switzerland.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 65 tahun itu turut menyalahkan kekurangan perlawanan antarabangsa menjadi faktor kepada kekalahan pasukan berkenaan yang merupakan penyingkiran awal pertama Itali sebelum perlawanan suku akhir Euro dalam tempoh 20 tahun.

"Saya mempunyai tanggungjawab", kata Spalleti pada sidang media selepas perlawanan.

"Kami gagal kerana pemain yang dipilih oleh saya. Kesalahan tersebut tidak diletakkan di bahu para pemain.

"Saya tidak mempunyai cukup masa untuk mengetahui pasukan dengan baik.

"Semua pasukan yang bertanding mempunyai 30 atau lebih perlawanan sebelum bermulanya Euro 2024. Saya hanya mempunyai 10", tambah Spalleti.

Spalleti dilantik sebagai pengurus baharu Itali pada Ogos 2023 susulan peletakan jawatan Roberto Mancini.

Dia membuat enam pertukaran pemain ketika menentang Switzerland.Meskipun berjaya menambah kekuatan dan kreativiti kepada Itali, pasukan berkenaan dilihat tidak bermaya dan tidak membuat sebarang percubaan ke pintu gol lawan.

Spalleti turut berkata pasukannya tidak cukup cergas menentang Switzerland.

Itali muncul naib juara kumpulan B di belakang Sepanyol selepas seri 1-1 dengan Croatia untuk layak ke pusingan 16 terakhir pada Sabtu sebelum tumpas 2-0 di tangan Switzerland.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD