ROME, 13 Jun-Bekas penjaga gol legenda Itali, Gianluigi Buffon berkata skuad Itali di bawah bimbingan Luciano Spalletti mempunyai bakat dan keazaman untuk menang sekali gus mempertahankan kejuaraan Euro yang dimenangi pada 2021.
Itali yang gagal melayakkan diri pada dua edisi Piala Dunia lalu melepasi pusingan kelayakan Euro 2024 selepas sekadar seri menentang Ukraine pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Diundi berada di dalam kumpulan sukar di samping Sepanyol, Croatia dan Albania, ramai yang berasa sangsi dengan kemampuan skuad digelar 'Azzuri' itu untuk layak ke pusingan kalah mati, namun Buffon tetap yakin pasukan berkenaan mampu melepasi pusingan tersebut.
"Saya berasakan pasukan ini dipandang rendah. ini adalah skuad yang kompetatif, terutamanya dengan kekuatan karakter keseluruhan pemain", kata bekas penjaga gol berusia 46 tahun itu kepada pemberita pada Rabu.
"Ini sesuatu yang memeranjatkan kepada saya dan membuatkan saya teruja melihat semangat kebangsaan para pemain terhadap negara dan jersi yang dipakai", katanya.
"Terdapat sekurang-kurangnya empat atau enam pemain yang boleh saya katakan berkelas dunia. Kami mempunyai pasukn yang bagus.Namun, kita mempunyai sebahagian pemain bagus yang mampu menolong pasukan memenangi perlawanan", tambah Buffon.
Buffon yang pernah bermain mewakili pasukan Itali sebanyak 176 kali dan menjulang Piala Dunia pada 2006 kini berkhidmat sebagai ketua delegasi bersama pasukan Itali pada kejohanan Euro kali ini.
Itali yang diletakkan dalam kumpulan B pada kejohanan Euro kali ini akan memulakan perjuangan menentang Albania pada Sabtu, sebelum bertemu Sepanyol pada 20 Jun dan Croatia pada 24 Jun.-REUTERS