fb fb fb fb fb

Fokus atlet para Sarawak ditagih bagi capai matlamat muncul juara keseluruhan

FOTO HIASAN

KUCHING, 13 Jun- Kontinjen Sarawak bagi Temasya Para Sukan Malaysia SUKMA kali ke-21 diminta memberi tumpuan terhadap latihan dan kesihatan diri serta mengamalkan gaya hidup sihat.

Jelas Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, persiapan itu penting dalam misi memburu kejuaraan bagi kali ke-14.

Beliau mahu agar atlet para yang dipilih mewakili Bumi Kenyalang melupakan kegagalan pada temasya Para SUKMA 2022 sebaliknya memberikan tumpuan merampas kembali kejuaraan dengan mengumpul pingat emas pada acara sukan yang dipertandingkan.

Dalam masa sama, beliau yakin kebolehan barisan atlet negeri itu dapat membuktikan kemampuan mereka di gelanggang sendiri lebih-lebih lagi Sarawak menjadi tuan rumah pada temasya kali ini.

Datuk Seri Fatimah berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Atlet Para Sukma di Pusat Konvensyen dan Hotel Raia Kuching malam tadi.

Pada temasya Para SUKMA ke-20, kontinjen Sabah muncul sebagai juara dengan kutipan 54 pingat emas manakala kontinjen Sarawak hanya berpuas hati dengan 50 pingat emas.

Temasya Sukan Para SUKMA 2024 akan berlangsung dari 23 hingga 28 September di bandaraya Kuching dengan mempertandingkan 10 acara antaranya olahraga, renang, boccia, angkat berat dan catur.

1306 PARA SUKMADatuk Seri Fatimah pada Majlis Makan Malam Bersama Atlet Para Sukma
di Pusat Konvensyen dan Hotel Raia Kuching

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE