MANCHESTER, 21 Disember- Pengurus Bournemouth, Andoni Iraola, memuji impak positif yang dibawa Ruben Amorim ke Manchester United menjelang perlawanan kedua-dua pasukan di Old Trafford pada Ahad.
Pasukan bimbingan Amorim kini berada di tangga ke-13 liga, manakala Bournemouth di tangga keenam hanya dipisahkan tiga mata.
Amorim dilantik selepas Erik ten Hag dipecat sebagai pengurus United.
Tempoh permulaan Amorim menyaksikan keputusan seri menentang Ipswich sebelum mencatat empat kemenangan dan tiga kekalahan, termasuk kejayaan menewaskan Manchester City minggu lalu sebelum tewas kepada Tottenham dalam saingan Piala Liga.
"Ia satu pasukan yang berbeza," kata Iraola, yang pasukannya menang 3-0 dalam pertemuan musim lalu.
"Mereka bermain dengan cara yang berbeza, sistem yang berbeza, dan pendekatan berbeza dalam permainan," kata Iraola pada sidang media sebelum perlawanan pada Jumaat.
"Mereka lebih mengawal perlawanan. Mereka meningkatkan kadar penguasaan bola dan mempunyai corak permainan yang jelas.
"Jika kami membiarkan mereka mengawal permainan dan membuat keputusan ketika menguasai bola, ia akan menjadi sangat sukar kerana mereka bermain dengan sangat baik.
"Mereka jarang membenarkan lawan mencipta peluang dan melepaskan gol. Statistik pertahanan mereka sangat baik.
Bagaimanapun, United kelihatan rapuh dalam situasi bola mati, selain tewas 4-3 kepada Tottenham selepas ketinggalan 3-0.
"Ia benar bahawa mereka melepaskan beberapa gol daripada situasi bola mati, tetapi saya fikir mereka mempunyai pertahanan yang sangat baik dan kebanyakan gol yang dibolosi adalah hasil penyudah yang baik daripada lawan."
Iraola berharap pasukannya boleh memanfaatkan situasi bola mati.
"Kami bukan pasukan yang tinggi. Sebaliknya, kami agak pendek, tetapi kami berjaya mencipta peluang menerusi situasi bola mati," katanya.
Bournemouth sebelum ini mencatat tiga kemenangan berturut-turut sebelum seri dengan West Ham.
"Kami perlu bergerak selangkah demi selangkah," kata Iraola.
"Kami masih memerlukan lebih banyak mata. Dua puluh lima mata adalah jumlah yang baik tetapi jika anda lihat carta liga, setiap pasukan sangat rapat, jadi kami perlu terus menambah mata", katanya.-AFP