KOTA BHARU, 21 Disember- Kelantan Red Warriors (KRW) FC bersedia menggantikan The Red Warriors (TRW) FC yang telah terkubur daripada saingan Liga Malaysia (Liga M).
Presiden KRW FC, Nik Hafiz Nik Naim berkata, proses mempersiapkan pasukan itu dijangka akan bermula sepenuhnya pada Januari depan.
Katanya, ketika ini KRW sudah mengemukan proses untuk bersaing di Liga A1 Semi-Pro musim hadapan.
Pihaknya memerlukan perbelanjaan sebanyak RM2 juta untuk menggerakkan KRW FC dalam persaingan di liga itu nanti.
Perbelanjaan kewangan itu termasuk membawa masuk pemain bintang untuk bermain dalam pasukan selain kos pengurusan dan kelab.
Ujarnya, KRW FC dibentuk hasil sokongan pelabur-pelabur TRW FC yang mahu melihat pasukan Kelantan kembali bersaing dalam kancah Liga M pada masa hadapan.
"Insya-Allah kita memiliki sumber kewangan yang kukuh sebab kami dulu pelabur-pelabur TRW yang majoritinya berpindah ke KRW dan mempunyai kewangan yang baik untuk meneruskan kelab ini," jelas Nik Hafiz.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran KRW FC di Kota Bharu hari ini.
Hadir sama, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Afandi Hamzah.