SYDNEY, 24 November- Jurulatih Western Sydney Wanderers, Alen Stajcic, mengkritik ejen Juan Mata dengan menyifatkan tindakannya sebagai "pengecut" selepas ejen itu menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kekurangan masa permainan bintang bekas Manchester United dan Chelsea itu.
Juan Mata, 36, yang membantu Sepanyol menjulang Piala Dunia, menyertai pasukan A-League itu pada September tetapi setakat ini tidak banyak diturunkan.
Selepas perlawanan, Stajcic memberi respons kepada kenyataan yang dibuat Fahid Ben Khalfallah, ejen Mata di Australia, yang dilaporkan menyifatkan masa permainan Mata yang terhad sebagai biadap dan pengecut.
“Saya rasa dia (ejen) mendapat terlalu banyak perhatian, sejujurnya,” kata Stajcic pada Sabtu.
Tambahnya lagi, “Saya tak perlu bercakap dengan ejen bila pemain mereka tidak bermain.
“Dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu, dia pengecut dan pengecut atas beberapa sebab.
“Saya hanya pernah bercakap dengannya dua atau tiga kali sepanjang hidup saya.”
Walaupun Mata lebih banyak diturunkan sebagai pemain gantian sejak menyertai Wanderers, Stajcic tetap menyifatkan pemain itu sebagai penting dan memuji impaknya.
“Terpulang kepada dia untuk memberikan sumbangan apabila dia masuk ke padang,” tambah Stajcic.
“Dia buat beberapa aksi yang baik hari ini, jadi kami nak lebih banyak aksi seperti itu.”
Mata menandatangani kontrak setahun bersama pasukan A-League itu selepas meninggalkan pasukan Jepun, Vissel Kobe, di mana dia hanya membuat satu penampilan singkat musim lalu.
Selain memenangi Piala Dunia pada 2010 dan Kejuaraan Eropah pada 2012 bersama Sepanyol, Mata turut menjulang piala Liga Juara-Juara bersama Chelsea, serta Liga Europa bersama Chelsea dan Manchester United.-AFP