KUALA LUMPUR, 2 Julai- Permainan sukan elektronik (E-Sukan) buat julung kalinya bakal diperkenalkan pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham sebagai sukan pertunjukan di bawah kelolaan Persekutuan E-Sukan Global.
Ia sekali gus membuka peluang buat pasukan Dota Two wanita negara beraksi di temasya sukan tersebut setelah meraih salah satu slot menerusi kelayakan Asia Selatan dan Asia Tenggara sebelum ini.
Menurut atlet Dota Two tempatan, Stephanie Lim Yuen Lii, peluang mewakili negara pada temasya sukan kedua terbesar dunia itu pastinya menjadi impian buat kesemua lima pemain wanita negara yang memiliki pengalaman sebagai atlet e-sukan profesional.
"Secara peribadi saya sentiasa mahu mewakili negara di kejohanan ini. Ia memberi peluang kepada saya untuk merealisasikan impian itu. Bagi rakan sepasukan pula, kami sudah lama tidak berjumpa, namun jika mereka berminat wakili negara, saya rasa tiada masalah meskipun kejohanan itu tidak menawarkan sebarang hadiah," katanya.
(Pasukan Dota Two wanita negara)
Selain Dota Two, permainan e-Football Siri dan Rocket League antara dua lagi saingan yang akan dipertandingkan di Birmingham nanti.
Acara E-sukan di Sukan Komanwel 2022 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) pada 6 dan 7 Ogos.