NILAI, 30 Jun- Persekutuan Tinju Malaysia merancang membawa dua petinju negara menjalani latihan intensif di Korat, Thailand.
Ia sebagai persiapan terakhir sebelum bersaing pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos depan.
Dua petinju itu ialah Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin, 21, bagi kategori 48 kilogram dan Sheikh Rahmatullah Ibrahim, 21, bagi kategori 54 kilogram.
Menurut Timbalan Chef De Mission ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gerard Monteiro latihan intensif selama tiga minggu yang bermula minggu hadapan diharap mampu memberi impak positif terhadap prestasi petinju negara.
"Saya diberitahu persiapan setakat ini berjalan lancar, mereka akan ke Thailand untuk pertandingan minggu hadapan dan dari situ mereka akan terus ke Birmingham.
"Jadi pertandingan di Thailand ini sebagai satu latihan pemanas dan kita tengok keputusan dari Thailand ini kita boleh lihat bagaimana persiapan pasukan ke Komanwel," katanya.
(Timbalan Chef De Mission ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gerard Monteiro)
Beliau menyatakan demikian ketika melawat persiapan petinju di Pusat Latihan Tinju Majlis Sukan Negara, di sini.
Tambahnya, tinju antara acara sukan yang disasar untuk menyumbang pingat buat negara dan optimis petinju yang dipilih dapat menggalas cabaran dengan baik.