fb fb fb fb fb

Dua pengadil jemputan luar negara pada Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan

(Pengarah Pertandingan KRM, Fahmy Jalil/ BERNAMA)

IPOH, 21 Julai- Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menjemput dua pengadil jemputan dari Singapura pada Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan 2023 yang dijadual bermula hari ini.

Pengarah Pertandingan KRM, Fahmy Jalil, berkata Ragbi Asia telah memilih Leow Wei Liang dan Christabelle Lim Mee bagi mengadili kejohanan dua hari itu.

Jelasnya, kehadiran mereka diharap memberi ruang kepada pengadil tempatan kita untuk menimba pengalaman.

"Selepas ada persefahaman dengan Ragbi Asia dan dia bersetuju untuk hantar dua orang pengadil dari Singapura ini.

"Leow akan mengadili untuk perlawanan kategori lelaki manakala Christabelle pula untuk kategori  wanita, ini antara pembaharuan yang KRM ketengahkan pada kejohanan kali ini," katanya.

Beliau ditemui selepas sesi Taklimat Pengurus Pasukan Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan, di Ipoh, malam tadi.


(Fahmy (dua dari kiri) pada Taklimat Pengurus Pasukan Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan 2023 di Ipoh, malam tadi/ BERNAMA)

Ujar Fahmy, ini merupakan kerjasama pertama dengan Ragbi Asia dan berharap peluang ini mampu memberi semangat kepada pengadil tempatan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi. 

Sebanyak 50 pasukan mengesahkan penyertaan tahun ini melibatkan hampir 800 pemain dan pegawai yang akan berkampung di dua venue iaitu Stadium Ragbi Perak dan Kem Batalion 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Seperti edisi terdahulu , kejohanan ini mengekalkan empat kategori yang akan dipertandingkan iaitu Lelaki Terbuka (15 pasukan), Wanita Terbuka (10 pasukan), Lelaki Bawah 20 Tahun (14 pasukan) dan Wanita Bawah 20 Tahun (11 pasukan).

Format kejohanan selama dua hari itu akan dijalankan dalam dua pusingan iaitu pusingan awal bagi peringkat kumpulan dan pusingan kalah mati untuk peringkat suku akhir ke atas. 

Kejohanan itu bakal menyaksikan kehadiran pemain kebangsaan bagi mewakili negeri masing-masing.

Media Baharu