fb fb fb fb fb

Dua jaringan Galeno bantu Porto mara

Pemain sayap Porto FC, Galeno sedang beraksi pada pertemuan menentang Shaktar Donetsk /FOTO REUTERS

PORTO, 14 Disember- Dua jaringan oleh pemain sayap, Galeno membolehkan kelab Portugal, Porto menang 5-3 ke atas Shakhtar Donetsk pada Rabu, sekali gus membolehkan kelab tersebut mara ke peringkat kalah mati Liga Juara.

Pada perlawanan yang dilangsungkan di laman sendiri, tuan rumah, Porto berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-9 selepas menyudahkan hantaran lintang di depan gol Shakhtar Donetsk.

Wakil Ukraine itu bingkas bangun dan menyamakan kedudukan menerusi Danyo Silkan pada minit ke-29.

Galeno membuktikan ketajaman sentuhan penyudahnya sekali lagi apabila berjaya menyumbat gol kedua Porto pada minit ke-43 sebelum rehat bagi memberikan kelebihan buat tuan rumah.

Bersambung babak kedua, Galeno melengkapkan malam gemilangnya apabila menjadi perancang kepada gol ketiga Porto pada minit ke-62 yang berjaya disudahkan oleh Mehdi Taremi.

Keghairahan Porto mencari gol dihukum Shaktar apabila pemain tengahnya, Stephen Eustaquio menjaringkan gol sendiri bagi mengurangkan jurang kepada 3-2.

Gol tersebut tidak mematahkan semangat para pemain Porto yang terus melakukan asakan ke benteng pertahanan lawan.

Hasilnya, Porto berjaya menambah lagi dua gol menerusi Pepe dan Francisco Conceicao masing-masing pada minit ke-75 dan 82.

Manakala Shaktar berjaya mendapatkan gol ketiga menerusi Eguinaldo dua minit sebelum tamat perlawanan.

Kemenangan tersebut meletakkan Porto di tangga kedua Kumpulan H dengan 12 mata di belakang Barcelona.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD