fb fb fb fb fb

DSAT Group serah surat tawaran ambil alih KDA FC

Foto Facebook azizultandek

ALOR SETAR, 3 November-DSAT Group Sdn Bhd melalui anak syarikatnya, Mahsuri Medical Centre (MMC) hari ini menyerahkan surat tawaran pengambilalihan 100 peratus saham dalam Darulaman Football Club Sdn Bhd (DFCSB) sekaligus menjadi pemilik baharu pasukan Kedah Darul Aman, KDA FC.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek berkata surat tersebut telah dihantar oleh wakil syarikat itu kepada pegawai KDA FC di pejabat KDA FC di Wisma PKNK, di sini hari ini.

Ketika dihubungi RTM, Datuk Seri Azizul berkata, surat tersebut merupakan rentetan pertemuan bersama Exco Belia dan Sukan Kedah, Muhamad Radhi Mat Din yang bersetuju melepaskan 21 peratus pegangan sahamnya dalam KDA FC di sebuah hotel di ibu negara pada 24 Oktober lalu.

Beliau berkata, sekiranya proses ambil alih berjalan lancar, KDA FC akan memegang 40 peratus saham dalam MMC sekaligus menjadi kelab bolasepak pertama mempunyai pusat perubatan sendiri sebagai sumber pendapatan.
 
Pusat perubatan yang terletak di Jitra, Kedah itu akan dinaiktaraf sehingga mempunyai 200 katil dan pihaknya menyasarkan pendapatan tahunan sekitar RM500 juta.

Untuk rekod, KDA FC kini sedang bergelut dengan isu tunggakan gaji para pemain sejak beberapa bulan lalu.
 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD