SAO PAULO, 12 Januari- Ketua jurulatih baharu Brazil, Dorival Junior yang dilantik Khamis lalu, berjanji bagi mengubah nasib pasukan tersebut yang mempamerkan persembahan buruk pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026 Amerika Selatan.
Bekas jurulatih kelab Sao Paulo itu bersetuju menandatangani kontrak bersama juara Piala Dunia lima kali itu sehingga Disember 2026 susulan pemecatan bekas ketua jurulatih terdahulu, Fernando Diniz.
"Hari ini saya mewakili pasukan paling banyak memenangi kejuaraan Piala Dunia.
"Pasukan yang turut menginspirasikan banyak pasukan lain di serata dunia.
"Pasukan ini mempunyai kewajiban untuk memenangi Piala Dunia semula", Kata Dorival pada sidang media.
"Ini merupakan saat-saat yang sukar buat pasukan Brazil.
"Tetapi dalam bola sepak, tiada apa yang mustahil", tambah Dorival lagi.
Nasib malang terus menghantui skuad 'Selecao' sejak tersingkir pada suku akhir Piala Dunia 2022 dengan ketua jurulatih Tite meletakkan jawatan.
Brazil kemudiannya dikemudikan oleh jurulatih skuad Bawah-20 Brazil, Ramon Menezes sebagai jurulatih sementara sebelum jawatan berkenaan diambil alih oleh Diniz tahun lalu.
Di bawah kendalian Diniz menyaksikan skuad Brazil mencatatkan tiga kekalahan dan hanya dua kemenangan.
Ketika ini Brazil menduduki tangga keenam pada kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu kumpulan dan juara dunia, Argentina.-REUTERS