RIYADH, 12 Januari - Dua jaringan masing-masing sumbangan Robert Lewandoswki dan Lamine Yamal pada babak kedua perlawanan membolehkan Barcelona menewaskan Osasuna 2-0 sekali gus bertemu seteru tradisi, Real Madrid pada final Piala Super Sepanyol.
Skuad Real Madrid berjaya menewaskan Atletico Madrid 5-3 dalam satu lagi pertemuan separuh akhir pada Rabu.
Pada perlawanan yang dilangsungkan pada Khamis, Barcelona terpaksa menunggu sehingga ke babak kedua bagi membuka jaringan menerusi penyerang veteran, Robert Lewandoski pada minit ke-59.
Lamine Yamal mengesahkan kemenangan Barcelona selepas menyumbat gol kedua pada minit akhir permainan.
Kemenangan terhadap Osasuna itu merupakan kemenangan pertama Barcelona dengan jaringan melebihi satu gol sejak September lalu susulan persembahan tidak menentu pasukan berkenaan dalam kempen La Liga.
Pada aksi final musim lalu, skuad 'Catalans' itu berjaya menewaskan 'Los Blancos' 3-1.
Kedua-dua pasukan akan membuat pertembungan di Stadium Al-Awwal Park pada Ahad.-AFP