ROM,1 September – Penjaga gol antarabangsa Itali, Gianluigi Donnarumma bakal melengkapkan perpindahan ke Manchester City pada hari terakhir jendela perpindahan, kata jurulatih kebangsaan, Gennaro Gattuso.
Menurut laporan, juara Liga Perdana Inggeris itu mencapai persetujuan bernilai 35 juta euro (RM174 juta) dengan Paris Saint-Germain (PSG) selepas pemain berusia 26 tahun itu dianggap tidak lagi diperlukan susulan kehadiran penjaga gol muda Perancis, Lucas Chevalier dari Lille.
“Donnarumma hanya perlu menjalani pemeriksaan perubatan sebelum menandatangani kontrak bersama City,” kata Gattuso ketika ditanya mengenai persiapan skuadnya menjelang kelayakan Piala Dunia 2026.
Donnarumma membantu PSG meraih trofi Liga Juara-Juara musim lalu, namun jurulatih Luis Enrique menegaskan Chevalier akan menjadi pilihan utama musim ini.
Manchester City sebelum ini dikatakan hanya berminat sekiranya penjaga gol utama, Ederson, berpindah. Namun, media Britain melaporkan persetujuan telah dicapai walaupun Ederson masih kekal.
City sebelum ini membawa masuk James Trafford dari Burnley, namun prestasinya dalam tiga perlawanan liga awal musim kurang meyakinkan, termasuk kekalahan 1-2 kepada Brighton pada Ahad. -AFP