fb fb fb fb fb

Diplomasi bola sepak: Trump manfaatkan Piala Dunia 2026 atasi ketegangan serantau

Foto AFP

WASHINGTON, 5 Disember - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sekali lagi memanfaatkan penganjuran sukan bola sepak sebagai saluran diplomasi apabila beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan pemimpin Kanada dan Mexico sempena acara undian rasmi Piala Dunia 2026 di Washington.

Pertemuan itu berlangsung ketika Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico selaku tuan rumah bersama edisi 2026, berdepan isu hubungan serantau ekoran dasar tegas Trump dalam hal perdagangan, migrasi dan pembanterasan dadah.

Bagi Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, ini merupakan pertemuan pertama dengan Trump.

Beliau berkata perbincangan dua hala akan memberi tumpuan kepada perdagangan sebelum sesi undian yang bakal membahagikan 48 pasukan ke dalam 12 kumpulan.

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney pula dijadual mengadakan pertemuan ringkas dengan Trump di Kennedy Center, lokasi acara undian, selain turut bertemu Sheinbaum.

Trump sebelum ini mengenakan tarif tinggi terhadap eksport Kanada dan Mexico yang berada di luar perjanjian perdagangan USMCA, serta mengugut tindakan tambahan sekiranya kedua-dua negara gagal menangani migrasi rentas sempadan dan penyeludupan dadah.

Kenyataan beliau mengenai kesediaan melaksanakan serangan udara ke atas Mexico turut mencetuskan kemarahan Sheinbaum.

Dalam masa sama, Trump mula menggunakan penganjuran Piala Dunia sebagai landasan politik, termasuk hubungan rapatnya dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Infantino dijangka menyampaikan anugerah baharu “FIFA Peace Prize” yang difahamkan bakal diterima Trump.

Namun langkah White House memperketat kawalan imigresen termasuk pembekuan permohonan suaka dari 19 negara, antaranya Iran dan Haiti, yang turut menyertai Piala Dunia menimbulkan kebimbangan baharu.

Trump turut mencetuskan ketegangan apabila memberi bayangan bahawa beberapa perlawanan Piala Dunia mungkin dipindahkan dari bandar-bandar yang ditadbir parti Demokrat susulan operasi keselamatan dan tindakan antiimigresen yang dilaksanakannya.

AZRUL FAIZAL JUSOH