RIYADH, 27 Julai- Penyerang Perancis, Moussa Dembele telah menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Ettifaq sebagai ejen bebas selepas tamat kontrak bersama kelab Perancis, Lyon.
Perkara itu diumumkan Al-Ettifaq menerusi laman sosial rasmi kelab.
Dembele mula menempa nama bersama Celtic pada 2016 dengan membantu kelab itu menjulang gelaran treble berturut-turut.
Dia bagaimanapun melalui tempoh sukar selepas menyertai Lyon pada 2018 termasuk dipinjamkan kepada kelab Sepanyol, Atletico Madrid bagi musim 2020-2021.
Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu kembali menyinar selepas menamatkan tempoh pinjaman dengan meledak 70 gol dalam 172 penampilan bersama Lyon.
Dembele bakal menyertai nama besar di Liga Pro Saudi termasuk Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema.
(Foto Laman Web Al-Ettifaq)
Sementara itu, bekas pemain tengah Liverpool, Jordan Henderson akhirnya mengucapkan selamat tinggal selepas 12 tahun bersama kelab itu.
Pemain berusia 33 itu mengumumkan pemergiannya di laman sosial peribadi.
Bekas kapten Liverpool itu akan menyertai Liga Pro Saudi selepas Al-Ettifaq membayar yuran perpindahan yang dianggarkan berjumlah £13 juta pound.
Henderson melakukan 492 penampilan, menjaringkan 33 gol serta 61 bantuan jaringan sejak menyertai Liverpool pada 2011.
Pemain antarabangsa England itu membantu pasukan Jurgen Klopp memenangi kejuaraan Liga Perdana pertama mereka dalam tempoh 30 tahun pada 2020.
Dia juga mengetuai Liverpool untuk merangkul kejuaraan Piala FA, Piala Liga, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab.- AFP