fb fb fb fb fb

Dembele, Bonmati dinobat Pemain Terbaik FIFA

FOTO FAIL AFP

DOHA, 17 Disember - Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) dan Perancis, Ousmane Dembele, dinobatkan sebagai Pemain Lelaki Terbaik FIFA pada majlis anugerah yang berlangsung di Doha pada Selasa, manakala pemain tengah Sepanyol dan Barcelona, Aitana Bonmati, memenangi anugerah Pemain Wanita Terbaik buat tahun ketiga berturut-turut.

Dembele memainkan peranan penting dalam kejayaan sulung PSG menjuarai Liga Juara-Juara Eropah selepas membelasah Inter Milan 5-0 pada perlawanan akhir, selain meledak 35 gol dalam semua kejohanan musim lalu, termasuk 21 jaringan dalam Ligue 1 untuk muncul penjaring terbanyak.

Pemain berusia 28 tahun itu, yang turut memenangi Ballon d’Or tahun ini pada September, adalah sebahagian daripada skuad PSG yang mendominasi saingan domestik musim lalu serta mara ke perlawanan akhir Piala Dunia Kelab.

Bonmati, yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Liga Juara-Juara Wanita musim ini, turut memenangi Ballon d’Or Wanita buat kali ketiga berturut-turut dan membantu Barcelona meraih treble domestik selain mara ke final Liga Juara-Juara.

Pemain berusia 27 tahun itu juga membawa Sepanyol ke aksi akhir Euro 2025, namun tewas kepada England menerusi penentuan sepakan penalti, dengan Bonmati dinamakan Pemain Terbaik Kejohanan.

Sarina Wiegman memenangi anugerah Jurulatih Wanita Terbaik buat kali kelima selepas membimbing England mempertahankan kejuaraan Eropah, manakala Luis Enrique meraih anugerah Jurulatih Lelaki Terbaik selepas membawa PSG menjulang gelaran Liga Juara-Juara pertama mereka.

Anugerah Penjaga Gol Wanita Terbaik menjadi milik penjaga gol England dan Chelsea, Hannah Hampton, yang memainkan peranan besar dalam kejayaan England menjuarai Euro 2025 menerusi aksi cemerlang dalam penentuan sepakan penalti, selain membantu kelabnya meraih treble domestik.

Penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma, yang kini beraksi bersama Manchester City, memenangi anugerah Penjaga Gol Lelaki Terbaik hasil sumbangannya dalam kejayaan treble PSG.

Sementara itu, pemain Mexico, Lizbeth Ovalle, memenangi Anugerah FIFA Marta bagi gol terbaik bola sepak wanita menerusi jaringan tendangan kala jengking ketika mewakili Tigres menentang Guadalajara pada Mac lalu.

Santiago Montiel pula meraih Anugerah Puskas bagi gol terbaik lelaki.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE