CARDIFF, 17 Disember - Chelsea menampilkan sokongan padu kepada pengurus mereka, Enzo Maresca, apabila berjaya menewaskan pasukan divisyen ketiga, Cardiff City, 3-1 untuk layak ke separuh akhir Piala Liga Inggeris, awal pagi tadi.
Gol pembukaan Chelsea hadir pada awal babak kedua menerusi Alejandro Garnacho dalam aksi suku akhir yang berlangsung di ibu negara Wales itu.
Bagaimanapun, pendahulu Liga One itu memberi tentangan sengit sebelum menyamakan kedudukan melalui tandukan mantap David Turnbull.
Namun The Blues kembali menguasai perlawanan pada penghujung aksi apabila Pedro Neto meletakkan pasukan pelawat kembali di hadapan sebelum Garnacho melengkapkan kemenangan dengan gol kedua peribadinya pada masa kecederaan.
Kemenangan ke atas Cardiff merupakan kemenangan kedua Chelsea dalam enam perlawanan terakhir bagi semua kejohanan.
Maresca, yang membimbing The Blues menjulang Piala Dunia Kelab FIFA dan Liga Konferens UEFA (UEFA Conference League) tahun ini, menegaskan fokusnya adalah menewaskan Cardiff bagi memastikan Chelsea mara ke 'separuh akhir ketiga dalam tempoh 18 bulan sejak menyertai kelab ini'.
"Saya gembira kerana kami mara ke separuh akhir. Sokongan penyokong sentiasa ada. Kami berada di landasan yang betul dan semua yang saya lakukan adalah demi kebaikan pasukan, pemain dan penyokong," kata Maresca.
Chelsea kini memburu kejuaraan Piala Liga buat kali pertama sejak 2015, meskipun ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal.
Dalam satu lagi aksi suku akhir, Manchester City dijadual menentang Brentford, manakala Newcastle United bertemu Fulham, sementara Arsenal akan berdepan Crystal Palace pada 23 Disember ini.- AFP