fb fb fb fb fb

Ahmad Sobri selamat jalani pembedahan

Ahmad Sobri dalam keadaan baik dan berada di bawah pemantauan doktor / Foto Ihsan Feriza Ismail

Alor Setar, 17 Disember - Bekas penjaga gol legenda Kedah dan Malaysia era 1980-an hingga 1990-an, Ahmad Sobri Ismail selamat menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami komplikasi tekanan darah tinggi.

Berita mengenainya dimaklumkan bekas pemain Kedah, Feriza Ismail ketika dihubungi wartawan RTM Kedah.

"Anak sulung Ahmad Sobri, Mohamad Aliff memberitahu ayahnya selesai menjalani pembedahan kira-kira pukul 2 pagi tadi dan menerima rawatan di Unit Rawatan Separa Rapi HKL.

"Ahmad Sobri juga dilaporkan dalam keadaan baik dan berada di bawah pemantauan,"katanya.

Sebelum ini, Ahmad Sobri dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada Isnin sebelum menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar sebelum dipindahkan ke HKL.

Ahmad Sobri, 62 tahun merupakan antara legenda bola sepak Kedah yang menabur bakti hampir dua dekad bersama pasukan itu sebagai pemain dari tahun 1980 hingga 2000.

Namanya terpahat dalam sejarah bola sepak Kedah selepas mempamerkan aksi cemerlang pada final Piala Malaysia 1993 dengan menangkis beberapa percubaan berbahaya termasuk sepakan penalti pemain Singapura, sekali gus membantu Kedah menjulang kejuaraan.

FAUZIAH ABD RAHMAN