BINTULU, 14 Ogos - Gelanggang bagi acara muay thai Sukan Malaysia (SUKMA) di Naim Street Mall Paragon, kini sedia menerima peserta untuk merebut gelaran dalam 18 acara dipertandingkan mulai esok.
ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang, berkata beliau berpuas hati dengan persiapan di tapak acara tersebut sewaktu meninjau persiapan akhir untuk acara muay thai.
Kehadiran beliau di gelanggang acara muay thai disambut oleh Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) Jumaat Ibrahim serta pegawai-pegawai pengurusan berkaitan.
Antara acara pusingan pertama esok adalah seni Wai Kru dan Mai Muay Thai serta acara tumpuan melibatkan perlawanan pelbagai kategori berat.
Acara muay thai akan bermula esok hingga 20 Ogos ini.
SUKMA XXI Sarawak 2024 akan diadakan dari 17 hingga 24 Ogos, dengan 488 acara merangkumi 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 acara campuran atau terbuka merentasi 37 jenis sukan.