fb fb fb fb fb

Copa America 2024: Messi dijangka cergas menentang Canada

Ketua pasukan Argentina, Lionel Messi/Foto REUTERS

NEW JERSEY, 9 Julai-Ketua pasukan Argentina, Lionel Messi dijangka cergas dan dapat diturunkan bermain pada pertembungan separuh akhir Piala Copa Amerika 2024 menentang Canada meskipun berdepan kecederaan hamstring, kata ketua jurulatih, Lionel Scaloni.

Messi 37 tahun kembali disenaraikan pada perlawanan suku akhir menentang Ecuador selepas tidak disenaraikan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan kerana kecederaan.

Pada perlawanan menentang Ecuador itu, Messi dilihat bergelut ketika beraksi. Dia juga gagal menjaringkan gol pada aksi penentuan penalti menyaksikan Argentina memenangi perlawanan 4-2 di Stadium NRG, Houston.

"Messi kini berada dalam keadaan baik.Esok dia bakal diturunkan bermain menentang Canada", kata Scaloni pada sidang media pada Isnin menjelang pertemuan separuh akhir menentang Canada.

"Tahap kesihatannya sangat baik.Dia merupakan nadi penting buat pasukan", tambah Scaloni.

Argentina dan Canada bakal bertemu buat kali kedua pada kejohanan Copa Amerika kali ini selepas kedua-dua pasukan bertemu pada peringkat kumpulan A menyaksikan kemenangan 2-0 kepada Argentina.

Ujar Scaloni, menjelang pertembungan separuh akhir esok dia dan rakan sejawatnya daripada Canada, Jesse Marsch akan cuba untuk mencari kelainan.

"Kesemua jurulatih akan mengambil perhatian bagi memperbetulkan sebarang kelemahan bagi menewaskan lawan masing-masing", kata Scaloni.

"Setiap jurulatih perlu melakukan sedikit perubahan taktikal. Kami akan cuba menguasai bola dan menyekat mereka (Canada ) daripada bermain mengikut taktikal mereka", kata Scaloni.

Pengendali Argentina itu tidak menolak kemungkinan untuk menyekat permainan agresif dan fizikal yang dipamerkan Canada yang berhempas-pulas ketika menang menentang Venezuela pada suku akhir.

"Canada mempunyai para pemain yang mempunyai fizikal dan teknikal yang baik. Mereka telah menyukarkan semua pasukan yang menentangnya.

"Secara fizikal agak sukar menentang mereka, tetapi dengan kelebihan yang kami ada, kami harap kami berpeluang untuk menang", kata Scaloni.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD