fb fb fb fb fb

Ciapan berhubung cukai LHDN berbaur fitnah -KDA FC

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Kedah Darul Aman (KDA) FC menyifatkan ciapan Twitter yang mendakwa skuad Sang Kenari mempunyai masalah dalaman membabitkan isu cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sebagai ‘kenyataan fitnah’.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Khamal Idris Ali berkata KDA FC akan mengambil tindakan undang-undang, bagi membersihkan nama dan imej pasukan serta satu notis tuntutan atas kenyataan fitnah itu akan diserahkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata pemegang akaun @zulhelmizainal1 hari ini, menerusi ciapannya itu memaparkan satu salinan dokumen dengan kepala surat dari LHDN kepada KDA FC bertarikh 24 Ogos 2022, berkenaan Potongan Cukai Berjadual (PCB) 2021 hingga 2022.

“Dokumen sulit yang diperolehi secara tidak sah ini, telah memberi gambaran buruk kepada kelab, seterusnya tanpa fakta menyeluruh berkenaan kandungan surat tersebut. Hanya satu muka surat dikongsi. 

“Pihak KDA FC sentiasa menjaga kebajikan pemain dan sentiasa bertanggungjawab atas semua tanggungan, termasuklah pembayaran gaji dan cukai pendapatan,” katanya dalam kenyataan pasukan itu malam ini.

Khamal Idris berkata surat dikongsi itu sepatutnya hanya perlu berada dalam milikan LHDN dan KDA FC dan satu salinan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

(Pasukan KDA FC/BERNAMA)

Beliau berkata KDA FC amat dukacita dengan penyebaran dokumen sulit berkenaan tanpa kebenaran dan rumusan dibuat pemegang akaun itu telah memberi persepsi negatif kepada pengurusan kelab serta imej negeri Kedah. 

Sebagai rekod, setakat 10.30 malam ini, ciapan yang dibuat pada 4.33 petang itu telah mendapat 546 ‘retweet’ dan 631 ‘like’. -BERNAMA

Media Baharu