PARIS, 5 Julai- Kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain melantik pengendali baharu, Christophe Galtier untuk tempoh dua tahun, lapor sumber sahih pada Isnin.
Galtier, yang mengendali kelab pesaing Ligue 1 Nice musim lalu, mengambil alih teraju PSG dari Mauricio Pochettino.
Pengendali 55 tahun itu dirakam tiba di ibu pejabat PSG semalam dengan sidang media dijangka dibuat hari ini untuk mengumumkan pelantikannya.
PSG telah berusaha untuk mendapatkan Galtier selama beberapa minggu sementara Pochettino dan barisan kejurulatihan lain masih di bawah kontrak.
Galtier yang meninggalkan Nice bulan lalu, membina reputasi sebagai pengendali terbaik di Perancis sejak sedekad lalu.
Pencapaian terbaik apabila membawa kelab Lille kendaliannya pada tahun lalu menjadi juara Ligue 1 selain memenangi Piala Liga 2013 bersama kelab Saint-Etienne.
Pochettino pula dilaporkan bakal meninggalkan Paris selepas 18 bulan.
Meski memenangi Ligue 1 musim lalu namun tersingkir di peringkat 16 Liga Juara-Juara Eropah di tangan Real Madrid membayangi kejayaan berkenaan.
Khidmat bintang muda, Kylian Mbappe terus ditagih pengurusan kelab selepas mereka berjaya mengikat kontrak Mbappe selama tiga tahun sekali gus menamatkan khabar angin perpindahannya ke Real Madrid.
Selain itu, PSG turut menandatangani pemain muda berdarah Portugis dari kelab Porto FC, Vitinha dengan nilai AS$42 juta dolar Amerika.
PSG akan berangkat ke Jepun untuk jelajah pra-musim di mana mereka akan bermain tiga perlawanan antara 20 hingga 25 Julai.- AFP
(FOTO AFP)