PARIS, 19 Februari- Penyerang Bayern Munich, Harry Kane berkemungkinan besar terlepas perlawanan Bundesliga menentang Eintracht Frankfurt pada Ahad ini selepas digantikan pada separuh masa pertama ketika kemenangan agregat 3-2 pasukannya ke atas Celtic dalam saingan Liga Juara-Juara.
Kane hampir mencetak gol apabila rembatan beliau terkena palang dalam aksi 45 minit pertama menentang pasukan dari Scotland itu sebelum mengalami masalah kecederaan pada betis.
“Kami akan melakukan imbasan malam ini dan lihat keadaan sebenar. Saya tidak pasti sama ada dapat beraksi menentang Frankfurt pada Ahad,” katanya kepada pemberita di Allianz Arena.
Penyerang England itu turut mengakui kecederaan pada bahagian rahang yang dialaminya dalam perlawanan menentang Bayer Leverkusen Sabtu lalu masih menjejaskan keadaannya.
Sementara itu, Pengarah Sukan Bayern Munich, Max Eberl mendedahkan bahawa masalah pada buku lali turut memberi kesan kepada pergerakan Kane dalam babak pertama perlawanan menentang Celtic.
Ketika ditanya mengenai tempoh kecederaan Kane, pengendali pasukan, Vincent Kompany berkata pihaknya masih belum dapat menentukan jangka masa sebenar pemain itu akan direhatkan.
Bagaimanapun, Kane menegaskan bahawa keadaannya masih “baik”.-AFP