MADRID, 6 Oktober - Pemain pertahanan Sepanyol, Dani Carvajal bakal direhatkan selama beberapa bulan selepas Real Madrid mengesahkan beliau perlu menjalani pembedahan ekoran mengalami kecederaan serius di bahagian lutut.
Carvajal mengalami kecederaan itu semasa beraksi menentang Villarreal dalam saingan La Liga.
Kenyataan Real menyebut, beliau didiagnosis dengan koyak yang serius di beberapa bahagian ligamen dan urat tendon.
Kapten pasukan itu mengalami kecederaan beberapa minit sebelum perlawanan berakhir, ketika juara bertahan La Liga itu mendahului 2-0.
Sementara itu, Carvajal menerusi catatan di Instagram turut mengesahkan beliau tidak dapat bermain untuk beberapa bulan.
"Saya tidak sabar untuk memulakan pemulihan saya dan kembali semula. Terima kasih banyak kepada semua orang atas mesej anda. Saya rasa sangat disayangi, " katanya. -AFP