fb fb fb fb fb

Brazil perlu kerja keras, jika mahu julang Piala Dunia - Ancelotti

Foto REUTERS

WASHINGTON, 6 Disember- Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti menegaskan pasukannya memikul tanggungjawab besar untuk menjulang Piala Dunia, namun perlu mempunyai keberanian untuk menyatakannya secara terbuka.

“Bekerja untuk mampu menang adalah satu tanggungjawab besar. Tetapi, kita perlu ada keberanian untuk mengatakannya dan bekerja ke arahnya,” kata Ancelotti pada sidang media sejurus selepas undian Piala Dunia di Washington.

Brazil diundi dalam Kumpulan C bersama Maghribi, Scotland dan Haiti.

Ancelotti berkata ketiga-tiga pasukan itu wajar diberi penghormatan, namun Maghribi dijangka menjadi pencabar paling sukar susulan peningkatan harapan terhadap mereka selepas muncul sebagai semifinalis Afrika pertama pada edisi 2022.

Jurulatih itu turut beberapa kali ditanya mengenai sama ada penyerang Santos, Neymar akan tersenarai dalam skuad.

Ancelotti menegaskan masih terlalu awal kerana senarai muktamad hanya akan dimuktamadkan pada Mei, menjelang kejohanan yang bermula di Mexico City pada 11 Jun dan turut berlangsung di Kanada serta Amerika Syarikat.

“Kalau Neymar layak berada di Piala Dunia, kalau Neymar cergas dan kalau Neymar berada pada tahap lebih baik, dia akan bermain di Piala Dunia. Tamat cerita,” katanya.

Neymar berdepan masalah kecederaan berpanjangan dan tidak menyarung jersi Brazil sejak Oktober 2023.

Ancelotti sebelum ini menegaskan hanya pemain yang benar-benar cergas 100 peratus dan bersedia beraksi akan dipanggil. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM